Sunday, June 6, 2010

Jaminan Bekalan Makanan

Pada 27 Mei yang lepas, saya telah dijemput untuk menghadiri Konvensyen Jaminan Bekalan Makanan 2010-2020 yang dirasmikan oleh TPM.

Konvensyen ini diadakan sebagai persiapan terakhir kerajaan untuk melengkapkan deraf dasar agro makanan sebelum melancarkan Dasar Pertanian Negara ke 4 (DPN4) pada tahun 2011.

Pada sebelah pagi, tiga kertas kerja telah dibentangkan.
  1. Jaminan Bekalan Makanan Dari Perspektif Global Dan Kesan Kepada Pengeluaran Makanan Negara. Oleh Dr Larry Chee-Yoong Wong
  2. Kesan Perubahan Iklim Terhadap Jaminan Bekalan Makanan. Oleh Dr Chamhuri Siwar
  3. Perspektif Dasar Agro Makanan. Oleh Dato' Mohd Mokhtar Ismail
Apa yang menarik perhatian saya dalam pembentangan ini adalah unjuran perubahan suhu dan hujan. Di unjurkan bahawa bagi tahun 2020-2029 suhu akan meningkat sebanyak 1.3 C dan hujan akan berkurangan sebanyak 11.3%. Ini akan memberi kesan yang besar kepada penanam cendawan kerana apa yang berlaku sekarang sahaja sudah memeningkan apatah lagi bila keadaan yang disebut diatas berlaku.

Dr Larry juga ada menyatakan bahawa amalan pertanian masa hadapan mestilah mengikut '10 - 20 - 70 rule'.
  • 10% daripada peningkatan pengeluaran makanan pada masa hadapan adalah dari perluasan kawasan.
  • 20% adalah dari usaha intensifikasi.
  • 70% dari usaha R&D, inovasi dan polisi.
Adalah wajar jika penanaman cendawan mengikut konsep penanaman dalam persekitaran terkawal diberi perhatian serius oleh pengusaha dan pihak kerajaan.

Pada sebelah petang, para peserta dikehendaki memberi pandangan dan idea didalam bengkel-bengkel mengikut industri masing-masing. Didalam bengkel tanaman, apa yang memeranjatkan adalah daripada 40 lebih peserta hanya 3 sahaja usahawan. Yang lain tu adalah pegawai dari agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, FAMA, Mardi dan Khazanah. Dia yang banyak bercakap, dia yang buat dasar, dia juga yang laksana. Patutlah DPN3 masih banyak perkara yang tertunggak dan tak tercapai. Mungkin sebab itu kita dapati bahawa ada polisi atau dasar yang indah kabar dari rupa kerana inputnya bukan datang dari golongan yang berhempas pulas dan membanting tulang empat kerat untuk menyediakan makanan untuk negara.


No comments:

Post a Comment