Friday, June 25, 2010

Cuti Cuti Malaysia

Cuti sekolah yang baru lepas merupakan musim cuti yang agak pelik sikit. Sepanjang dua minggu tersebut aktiviti pembelian cendawan turun mendadak. Maklum balas dari pemborong menyatakan pasar basah, pasar malam, pasar tani dan restoran turut lengang. Ada sahabat saya mengatakan bahawa ini merupakan tanda-tanda ekonomi lembab. Saya kata tidakkah ini menunjukkan rakyat Malaysia sedang rancak bercuti. Bercuti tentu menggunakan duit. Kata sabahat saya itu, cuti memanglah cuti, tapi takan sampai dua minggu.Kalau ekonomi sedang rancak orang semua sibuk kejar duit, tak ada masa nak cuti lama-lama.Apa-apa pun di tempat saya ini keadaan sudah kembali normal.Alhamdullilah.

Saya mengambil kesempatan tersebut untuk membawa keluarga bercuti disatu tempat yang tidak berapa jauh dari rumah iaitu di Uu Langat. Kawasan Ulu Langat ini sebenarnya tidak asing bagi penduduk lembah klang untuk datang bercuti kerana sungai dan air terjunnya yang dijaga baik. Saya dan keluarga menginap di sebuah resort yang berkonsepkan agro taman. Itupun setelah membaca mengenainya didalam sebuah majalah.

Pemandangan jalan masuk ke resort

Tempat makan sebelah sungai.

Air terjun buatan.

Tempat mandi cetek untuk kanak-kanak

Konsep agro taman.

Resort ini dilengkapi dengan dewan-dewan latihan dan dorm yang boleh memuatkan sehingga 52 orang. Banyak agensi kerajaan dan swasta membuat latihan dan seminar disini. Patutlah sebelah paginya sunyi aje. Saya akan cuba mencadangkan agar hari keluarga atau mesyuarat agung persatuan cendawan dibuat disini tahun depan.

Monday, June 14, 2010

Cendawan Seri Pagi

Clitocybe sp

Gambar diatas adalah Cendawan Seri Pagi dan dulu dikenali sebagai Cendawan Perut Lembu. Oleh kerana nama lamanya memberikan reaksi yang negatif, Persatuan Cendawan Malaysia sepakat untuk memanggil cendawan ini sebagai Cendawan Seri Pagi.

Nama saintifik bagi cendawan ini adalah Clitocybe sp. Terdapat ratusan spesis daripada genus Clitocybe tetapi yang boleh dimakan hanya beberapa spesis.

Yang terdapat di Nas Agro samada Clitocybe maxima atau Clitocybe gigantea (Leucopaxillus giganteus), merupakan salah satu spesis yang boleh dimakan dan enak rasanya. Semasa mempromosi cendawan ini di Putrajaya ramai yang menyatakan cendawan ini rasanya seperti sotong, udang dan cendawan busut. Oleh kerana sifatnya yang tidak menyerap air seperti Cendawan Tiram Kelabu, ia amat sesuai untuk di olah menjadi produk hiliran. Kerana sifatnya itu juga membolehkannya dimasak rendang.

Penanamannya amat mudah kerana menggunakan formulasi seperti media Cendawan Tiram Kelabu dan ketahanannya terhadap penyakit terutama kulat hijau, Trichoderma, amat tinggi kerana boleh dikatakan hampir 0% kerosakan.

Primordia cendawan Seri Pagi

Cendawan yang tumbuh pada media benih (spawn) yang tidak sempat dipindahkan.

Cendawan Seri Pagi yang sedang berkembang. Kalau diperhatikan pada bucu kiri sebelah atas gambar kelihatan seperti primordia cendawan telah diserang kulat hijau. Serangan kulat hijau tersebut tidak memberi apa-apa kesan kepada pertumbuhan cendawan. Malah beg tersebut dan beg-beg sekeliling tidak dijangkiti kulat hijau tersebut.

Cendawan yang matang dibungkus dan buat masa ini harganya RM20.00/kg.

Cendawan ini dikatakan mengandungi kompaun bioaktif clitocine yang menjalankan aktiviti antibiotik terhadap beberapa bakteria yang merbahaya kepada manusia seperti Bacillus cereus dan Bacillus subtilis (Müller-Stoll WR (1990), Barros L, Baptista P, Estevinho LM, Ferreira CFR (2007)). Kajian awal (1945) mendapati cendawan ini mempunyai aktiviti antibiotik terhadap Mycobacterium tuberculosis, Salmonella typhi dan Brucea abortus (Hollande AC (1945)). Clitocine juga didapati merangsang apoptosis (kematian sel) terhadap sel kanser manusia (Ren G, Zhao YP, Yang L, Fu CX (April 2008)). Di bawah penyeliaan Prof Dr Vikineswary, Universiti Malaya, kajian terhadap cendawan ini sedang dijalankan; perlindungan DNA, sel dan hati, dan aktiviti antioksidan dan anti radang.

Monday, June 7, 2010

Fiesta Nasi Lemak

Pada 4-6 Jun 2010 telah berlangsung acara fiesta nasi lemak di Dataran Putrajaya. Persatuan Cendawan Malaysia telah mengambil kesempatan ini dengan membuka gerai untuk mempromosi cendawan dan masakan-masakan dari cendawan. Walaupun pungunjung ke fiesta tersebut tidak begitu ramai, gerai persatuan mendapat sambutan yang menggalakkan. Semua ahli jawatankuasa persatuan turun padang untuk acara ini. Demo masakan oleh Sinona dan Akmal telah berjaya memikat pengunjung yang hadir.

Gerai Persatuan Cendawan Malaysia
AJK yang bertugas pada hari kedua.
Sinona sedang melayan pengunjung dengan produknya; serunding cendawan, nasi cendawan, cendawan kari kapitan dan air cendawan.
Promoter persatuan, Nas Aqila, sedang mengedarkan sample produk masakan cendawan.
Partner Akmal sedang mengoreng cendawan; cendawan goreng eksotika.
Cendawan-cendawan segar yang turut dijual; cendawan tiram kelabu, cendawan telinga kera dan yang paling spesial cendawan seri pagi ( kiri gambar ).

Promosi kali ini amat menarik kerana berjaya menarik perhatian orang ramai kepada satu cendawan baru. Cendawan yang dimaksudkan adalah cendawan seri pagi. Cendawan ini menjadi rebutan apabila semua cendawan segar yang dibawa telah dibeli oleh orang ramai walaupun harganya RM2.50/100gm. Maklumbalas yang diterima adalah cendawan ini rasanya seperti cendawan busut. Ini sungguh memberangsangkan kerana cendawan busut tidak boleh (belum lagi) ditanam dan hanya boleh didapati pada musim hujan. Jadi siapa yang hendak merasai kelazatan cendawan busut bolehlah mencuba cendawan seri pagi.

Jadi apakah sebenarnya cendawan seri pagi ini? Akan dibincangkan dalam post akan datang.



Sunday, June 6, 2010

Jaminan Bekalan Makanan

Pada 27 Mei yang lepas, saya telah dijemput untuk menghadiri Konvensyen Jaminan Bekalan Makanan 2010-2020 yang dirasmikan oleh TPM.

Konvensyen ini diadakan sebagai persiapan terakhir kerajaan untuk melengkapkan deraf dasar agro makanan sebelum melancarkan Dasar Pertanian Negara ke 4 (DPN4) pada tahun 2011.

Pada sebelah pagi, tiga kertas kerja telah dibentangkan.
  1. Jaminan Bekalan Makanan Dari Perspektif Global Dan Kesan Kepada Pengeluaran Makanan Negara. Oleh Dr Larry Chee-Yoong Wong
  2. Kesan Perubahan Iklim Terhadap Jaminan Bekalan Makanan. Oleh Dr Chamhuri Siwar
  3. Perspektif Dasar Agro Makanan. Oleh Dato' Mohd Mokhtar Ismail
Apa yang menarik perhatian saya dalam pembentangan ini adalah unjuran perubahan suhu dan hujan. Di unjurkan bahawa bagi tahun 2020-2029 suhu akan meningkat sebanyak 1.3 C dan hujan akan berkurangan sebanyak 11.3%. Ini akan memberi kesan yang besar kepada penanam cendawan kerana apa yang berlaku sekarang sahaja sudah memeningkan apatah lagi bila keadaan yang disebut diatas berlaku.

Dr Larry juga ada menyatakan bahawa amalan pertanian masa hadapan mestilah mengikut '10 - 20 - 70 rule'.
  • 10% daripada peningkatan pengeluaran makanan pada masa hadapan adalah dari perluasan kawasan.
  • 20% adalah dari usaha intensifikasi.
  • 70% dari usaha R&D, inovasi dan polisi.
Adalah wajar jika penanaman cendawan mengikut konsep penanaman dalam persekitaran terkawal diberi perhatian serius oleh pengusaha dan pihak kerajaan.

Pada sebelah petang, para peserta dikehendaki memberi pandangan dan idea didalam bengkel-bengkel mengikut industri masing-masing. Didalam bengkel tanaman, apa yang memeranjatkan adalah daripada 40 lebih peserta hanya 3 sahaja usahawan. Yang lain tu adalah pegawai dari agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, FAMA, Mardi dan Khazanah. Dia yang banyak bercakap, dia yang buat dasar, dia juga yang laksana. Patutlah DPN3 masih banyak perkara yang tertunggak dan tak tercapai. Mungkin sebab itu kita dapati bahawa ada polisi atau dasar yang indah kabar dari rupa kerana inputnya bukan datang dari golongan yang berhempas pulas dan membanting tulang empat kerat untuk menyediakan makanan untuk negara.


Tuesday, June 1, 2010

Selingan - Akuakultur

Kali ini kita keluar sebentar dari topik cendawan. Kita ke bidang akuakultur sekejap. Ini bukan bermakna Nas Agro akan terlibat dalam bidang ini dalam masa terdekat, akan datang kalau ada rezeki apa salahnya, tapi ada beberapa fakta yang mungkin berguna untuk penanam cendawan.

Nas Agro sebenarnya ada memiliki kolam yang kecil yang menempatkan ikan tilapia. Ikan-ikan ini hanya diberi makan tongkol-tongkol cendawan atau cendawan 'reject'. Ikan ini bukanlah untuk jualan, hanya sekadar main-main atau sedekah pada kawan-kawan. Yang menariknya kami dapati ramai juga yang datang ke Nas Agro untuk mengambil cendawan akan bertanya nak jual tak ikan-ikan itu. Jadi timbullah idea bagaimana kalau kolam tadi dibuat secara 'proper' menggunakan kaedah RAS (recirculating aquaculture system) dengan tangki-tangi HDPE dan sesiapa yang nak beli ikan boleh ceduk sendiri ikan-ikan itu.

Berbekalkan idea itu, saya pun menghadiri satu kursus akuakultur anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selama empat hari. Yang bagusnya saya dapat berkursus bersama-sama peserta-peserta Felcra Ramuan China Melaka. Pihak Felcra dan PKPS telah mengadakan kerjasama 'contract farming' dimana PKPS akan mengambil keseluruhan ikan-ikan dari Felcra walaupun PKPS merupakan 'last buyer'.

Antara topik yang diajar adalah penyediaan air sebelum memasukkan ikan kedalam kolam. Ini penting kerana dalam mana-mana sistem akuakultur akan berlaku kitaran Ammonia-Nitrogen. Kalau ikut cara lama penternak akan menabur tahi ayam atau lembu kedalam kolam untuk mendapatkan ammonia ( toksik kepada ikan). Apabila paras ammonia sampai keparas kemuncak akan muncul secara semulajadi bakteria Nitrosomonas yang akan menukar ammonia kepada nitrite (masih toksik). Apabila nitrite ini sampai kekemuncak bakteria Nitrobacter akan menukar nitrite kepada nitrate ( tidak toksik). Kitaran ini berlaku secara berterusan dalam sistem akuakultur.

Walaupun ammonia adalah toksik kepada ikan tetapi ia merupakan nutrien yang penting bagi tumbuhan. Sebab itu sistem akuaponik agar popular dan giat dipraktikkan dinegara luar. Dalam sistem ini air dari kolam ikan akan disalirkan ke projek sayuran yang mana akar-akar sayur akan menyerap ammonia dan air tadi disalirkan semula ke kolam ikan.

Apa pentingnya ammonia kepada cendawan? Kalau kita lihat manual-manual lama penanaman cendawan urea adalah antara bahan yang dicampur kedalam substrat cendawan dan ada sesetengah negara menggunakan Trisodium phosphate (TSP). Biasanya jika cendawan yang hendak ditanam perlu kepada substrat yang dikomposkan terlebih dahulu maka bahan-bahan tersebut memang diperlukan. Tetapi bagaimana dengan cendawan tiram? apakah ammonia diperlukan??? saya tak pasti. Kena tanya kepada penyelidik kerana jika ammonia boleh membantu dalam penanaman cendawan tiram maka penyediaan ammonia boleh dilakukan seperti penyediaan air bagi sistem akuakultur.

Antara kolam tilapia PKPS di Rawang seluas 145 ekarTilapia gred A ( 700gm keatas ) diasing untuk diambil pemborong. Pengeluaran bulanan 40-60 tan..yang diperlukan 200 tan sebulan...berminat?..contact PKPS
Pembiakan aruhan ikan keli juga diajar. Ikan betina disuntik hormon. Nak suntik ini pun ada petua..kena suntik waktu tengah malam..kalau tak, tak mujarab...petua DoReMi kot..ngantuk beb, nak pegang ikan satu hal..nasib baik tak tercucuk jari sendiri
Ini ikan jantan..terpaksa dikorbankan untuk ambil testis...fuh! nasib baik kita jantan-jantan macho tak perlu melalui proses ini
Ini testis yang dikeluarkan...yang warna gelap tu kira macam mandul la...yang terang tu mempunyai sperma power...testis yang baik itu dipotong dan diperah spermanya.
Ikan betina yang telah disuntik hormon tadi dibiarkan selama 8-9 jam bergantung pada suhu air...perutnya diurut untuk mengeluarkan telur kedalam bekas yang mengandungi sperma jantan...campuran telur dan sperma ni di tabur kedalam kolam...dalam masa 24 jam akan menetaslah ratusan ribu anak-anak ikan keli....senangkan...haha sapa suruh buat cendawan