Clitocybe sp
Gambar diatas adalah Cendawan Seri Pagi dan dulu dikenali sebagai Cendawan Perut Lembu. Oleh kerana nama lamanya memberikan reaksi yang negatif, Persatuan Cendawan Malaysia sepakat untuk memanggil cendawan ini sebagai Cendawan Seri Pagi.
Nama saintifik bagi cendawan ini adalah Clitocybe sp. Terdapat ratusan spesis daripada genus Clitocybe tetapi yang boleh dimakan hanya beberapa spesis.
Yang terdapat di Nas Agro samada Clitocybe maxima atau Clitocybe gigantea (Leucopaxillus giganteus), merupakan salah satu spesis yang boleh dimakan dan enak rasanya. Semasa mempromosi cendawan ini di Putrajaya ramai yang menyatakan cendawan ini rasanya seperti sotong, udang dan cendawan busut. Oleh kerana sifatnya yang tidak menyerap air seperti Cendawan Tiram Kelabu, ia amat sesuai untuk di olah menjadi produk hiliran. Kerana sifatnya itu juga membolehkannya dimasak rendang.
Penanamannya amat mudah kerana menggunakan formulasi seperti media Cendawan Tiram Kelabu dan ketahanannya terhadap penyakit terutama kulat hijau, Trichoderma, amat tinggi kerana boleh dikatakan hampir 0% kerosakan.
Cendawan Seri Pagi yang sedang berkembang. Kalau diperhatikan pada bucu kiri sebelah atas gambar kelihatan seperti primordia cendawan telah diserang kulat hijau. Serangan kulat hijau tersebut tidak memberi apa-apa kesan kepada pertumbuhan cendawan. Malah beg tersebut dan beg-beg sekeliling tidak dijangkiti kulat hijau tersebut.
Cendawan ini dikatakan mengandungi kompaun bioaktif clitocine yang menjalankan aktiviti antibiotik terhadap beberapa bakteria yang merbahaya kepada manusia seperti Bacillus cereus dan Bacillus subtilis (Müller-Stoll WR (1990), Barros L, Baptista P, Estevinho LM, Ferreira CFR (2007)). Kajian awal (1945) mendapati cendawan ini mempunyai aktiviti antibiotik terhadap Mycobacterium tuberculosis, Salmonella typhi dan Brucea abortus (Hollande AC (1945)). Clitocine juga didapati merangsang apoptosis (kematian sel) terhadap sel kanser manusia (Ren G, Zhao YP, Yang L, Fu CX (April 2008)). Di bawah penyeliaan Prof Dr Vikineswary, Universiti Malaya, kajian terhadap cendawan ini sedang dijalankan; perlindungan DNA, sel dan hati, dan aktiviti antioksidan dan anti radang.
No comments:
Post a Comment