Saturday, July 10, 2010

Media Benih Cendawan ( Spawn Media )

Apabila kita bercakap tentang benih cendawan ia merupakan satu topik yang hangat dan sensitif. Berjaya atau tidak seseorang pengusaha cendawan bergantung kepada kualiti benih yang digunakan. Kualiti benih pula bergantung kepada ketelitian, skil dan nasib pembuatnya. Walaubagaimanapun ada juga keadaan dimana kerosakan berlaku bukan disebabkan benih tetapi pembuat benih juga yang dipersalahkan. 

Antara skil yang perlu ada pada pembuat benih adalah memilih media yang sesuai untuk dijadikan media benih untuk cendawan yang hendak diusahakan. Adalah salah untuk mengandaikan bahawa satu media benih adalah  sesuai untuk semua jenis cendawan. Setiap jenis cendawan memerlukan nilai C/N yang berbeza. Jadi pemilihan media untuk benih cendawan amat penting untuk menghasilkan mycelium yang baik dan seterusnya menghasilkan badan buah yang stabil.

Media cendawan boleh dibuat daripada 3 bahan iaitu bijirin, habuk kayu dan cecair. Walaupun habuk kayu dan cecair digunakan oleh beberapa negara, bijirin merupakan bahan yang popular dikalangan negara ASEAN. Bijirin yang sering digunakan adalah padi, gandum, sorghum, millet, jagung, barli dan oat.

Padi
Gandum
Sorghum
Millet
Barley
Oat

Di Malaysia, gandum merupakan media yang popular dan digunakan secara meluas. Nas Agro juga pernah menggunakan gandum tetapi telah beralih kepada jagung. Jagung boleh didapati dalam dua bentuk; jagung biji dan jagung pecah.

Jagung biji
Jagung pecah 

Ramai yang bertanya kenapa Nas Agro beralih kepada jagung. Ada juga yang mengkritik dengan menyatakan bahawa jagung bukanlah media yang sesuai. Terus terang saya nyatakan Nas Agro beralih daripada gandum kepada jagung bukanlah bersandarkan kajian saintifik. Selain dari faktor kos, peralihan ini berlaku setelah pengamatan visual terhadap kelakuan mycelium menunjukkan ia memberikan pertumbuhan dan ketebalan mycelium yang lebih baik dari gandum. Antara cendawan-cendawan yang menunjukkan pertumbuhan yang baik apabila menggunakan jagung adalah tiram kelabu, tiram putih, tiram kuning, seri pagi dan lingzhi. Walaupun jagung biji dan jagung pecah memberikan pertumbuhan yang hampir sama, jagung pecah lebih diminati oleh pengusaha kerana mudah untuk dipindahkan ke beg media.

Baru-baru ini semasa mesyuarat agung Persatuan Cendawan Malaysia, satu kertas kerja telah dibentang oleh Dang Lelamurni Abd Razak, pelajar pasca siswazah Fakulti Sains Universiti Malaya. Beliau juga merupakan pegawai penyelidik pusat bioteknologi Mardi. Antara yang disentuh oleh Dang Lela adalah penggunaan media yang berbeza untuk penanaman cendawan jeli hitam. Dibawah adalah salinan kertas kerja beliau setelah mendapat kebenaran daripada Prof Dr Noorlidah, Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment