Saturday, July 10, 2010

Media Benih Cendawan ( Spawn Media )

Apabila kita bercakap tentang benih cendawan ia merupakan satu topik yang hangat dan sensitif. Berjaya atau tidak seseorang pengusaha cendawan bergantung kepada kualiti benih yang digunakan. Kualiti benih pula bergantung kepada ketelitian, skil dan nasib pembuatnya. Walaubagaimanapun ada juga keadaan dimana kerosakan berlaku bukan disebabkan benih tetapi pembuat benih juga yang dipersalahkan. 

Antara skil yang perlu ada pada pembuat benih adalah memilih media yang sesuai untuk dijadikan media benih untuk cendawan yang hendak diusahakan. Adalah salah untuk mengandaikan bahawa satu media benih adalah  sesuai untuk semua jenis cendawan. Setiap jenis cendawan memerlukan nilai C/N yang berbeza. Jadi pemilihan media untuk benih cendawan amat penting untuk menghasilkan mycelium yang baik dan seterusnya menghasilkan badan buah yang stabil.

Media cendawan boleh dibuat daripada 3 bahan iaitu bijirin, habuk kayu dan cecair. Walaupun habuk kayu dan cecair digunakan oleh beberapa negara, bijirin merupakan bahan yang popular dikalangan negara ASEAN. Bijirin yang sering digunakan adalah padi, gandum, sorghum, millet, jagung, barli dan oat.

Padi
Gandum
Sorghum
Millet
Barley
Oat

Di Malaysia, gandum merupakan media yang popular dan digunakan secara meluas. Nas Agro juga pernah menggunakan gandum tetapi telah beralih kepada jagung. Jagung boleh didapati dalam dua bentuk; jagung biji dan jagung pecah.

Jagung biji
Jagung pecah 

Ramai yang bertanya kenapa Nas Agro beralih kepada jagung. Ada juga yang mengkritik dengan menyatakan bahawa jagung bukanlah media yang sesuai. Terus terang saya nyatakan Nas Agro beralih daripada gandum kepada jagung bukanlah bersandarkan kajian saintifik. Selain dari faktor kos, peralihan ini berlaku setelah pengamatan visual terhadap kelakuan mycelium menunjukkan ia memberikan pertumbuhan dan ketebalan mycelium yang lebih baik dari gandum. Antara cendawan-cendawan yang menunjukkan pertumbuhan yang baik apabila menggunakan jagung adalah tiram kelabu, tiram putih, tiram kuning, seri pagi dan lingzhi. Walaupun jagung biji dan jagung pecah memberikan pertumbuhan yang hampir sama, jagung pecah lebih diminati oleh pengusaha kerana mudah untuk dipindahkan ke beg media.

Baru-baru ini semasa mesyuarat agung Persatuan Cendawan Malaysia, satu kertas kerja telah dibentang oleh Dang Lelamurni Abd Razak, pelajar pasca siswazah Fakulti Sains Universiti Malaya. Beliau juga merupakan pegawai penyelidik pusat bioteknologi Mardi. Antara yang disentuh oleh Dang Lela adalah penggunaan media yang berbeza untuk penanaman cendawan jeli hitam. Dibawah adalah salinan kertas kerja beliau setelah mendapat kebenaran daripada Prof Dr Noorlidah, Universiti Malaya.

Wednesday, July 7, 2010

Promosi Cendawan Tempatan 2010

Bersama Jabatan Pertanian, Promosi Cendawan MMRA yang :

KE - 2
Tempat : Carrefour Kepong
Tarikh : 24 Julai 2010

KE - 3
Tempat : Pesta Nenas Sarikei Sarawak
Tarikh : 4 - 8 Ogos 2010


Pelbagai cendawan tempatan akan diperkenalkan dengan cara :
- Demonstrasi masakan cendawan,
- Edaran risalah mengenai nutrisi & nilai perubatan dalam cendawan,
- Penerangan mengenali khasiat-khasiat cendawan

Bagi ahli-ahli persatuan yang berminat untuk mengambil bahagian bagi aktiviti di bawah:
- Bantu memasak masakan cendawan,
- Jualan atau promosi produk cendawan,
- Menjaga gerai Persatuan
Sila hubungi Setiausaha MMRA, En Jeff 019 376 1289.

Bagi ahli-ahli yang ingin memperkenalkan produk masing-masing, bayarannya adalah RM50/Syarikat/hari untuk edaran flyer, kad bisnes atau 20% daripada jualan produk. Sesiapa berminat, sila hubungi En Jeff.

Semak calender MMRA untuk Jadual Promosi yang akan datang.

Tuesday, July 6, 2010

Seminar Koperasi Usahawan Cendawan Pulau Pinang (KUCPP)

Pada 26 - 27 Jun yang lepas saya telah dijemput untuk menghadiri seminar cendawan anjuran KUCPP dan Jabatan Pertanian Pulau Pinang. Saya juga diminta untuk membentangkan kertas kerja ' Pelupusan Media Cendawan Terpakai (SMS) Melalui Kaedah Biochar'.

Sewaktu kak Rosmawati iaitu presiden KUCPP telefon untuk menjemput saya sebagai penceramah, saya sedang mencongak-congak bila hendak balik ke kampung di Jitra untuk menjenguk nenda yang tidak berapa sihat. Jadi pada pagi 26 Jun saya pun bertolak ke utara dan langsung ke Jitra Kedah. Sebenarnya saya dilahirkan di Alor Setar dan mungkin membesar dalam pantang di Kampung Lubuk Tunjang Jitra, kampung ibu saya. Tapi selepas itu saya dibesarkan di Selangor negeri ibu dan ayah saya mencari rezeki. Apabila saya belajar di UITM Arau, tiap-tiap minggu saya akan balik ke Kg Lubuk Tunjang untuk menikmati masakan kampung mak cik saya yang sungguh enak, dan apa lagi kalau tak basuh baju. Nak basuh sendiri malas, kat kampung ada mesin basuh..haha.
Nenda saya, Hjh Hawa.

Saya tidak tidur dikampung kerana menghadiri program KUCPP pada sebelah malam. Seminar cendawan KUCPP di jalankan di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas Pulau Pinang. Peserta yang menghadiri seminar ini ramai, saya difahamkan lebih dari 100 orang. Tahniah kepada ajk KUCPP kerana walaupun baru beberapa bulan ditubuhkan sudah dapat menganjurkan acara yang sebegini hebat. Malah mendapat sokongan Jabatan Pertanian wilayah utara dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Dato' Arshat B. Kasa, penasihat KUCPP, sedang memberikan amanat, nasihat dan suntikan semangat kepada ahli-ahli koperasi.

Bergambar bersama sebahagian ajk KUCPP dan penceramah hari pertama.

Saya sungguh terpegun mendengar ceramah Dr Shirley Ooi mengenai kebaikan cendawan dari perspektif perubatan. Mendengar ceramah Dr Shirley boleh menyebabkan kita tak nak makan benda lain, nak makan cendawan sahaja.

Saya juga diberitahu bahawa pada petang hari kedua, Tun Abdullah Badawi ( Pak Lah ) sempat singgah ke dewan seminar dan memberi perangsang kepada ahli koperasi. Semuga kata-kata beliau membakar semangat ahli KUCPP untuk berdaya maju dalam industri cendawan.